Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada dua Menteri Besar yang turun sendiri ke padang banjir “Ground Zero” iaitu Menteri Besar Perak Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata beliau bersama barisan pimpinan negeri tidak akan hilang mahupun lari ketika menghadapi bencana alam.

Dalam ucapan pergulungan di persidangan Dewan Undangan Negeri, Guan Eng berkata sejak bencana alam bermula pada 4hb November 2017, kepimpinan negeri berada bersama mangsa banjir dan rakyat sepanjang masa.

“Bencana alam ini adalah satu hakikat yang kita terpaksa hadapi dan saya ingin menekankan di sini bahawa kita tidak akan elak, tidak akan sembunyi, tidak akan hilang dan tidak akan lari,” katanya.

Menurutnya, bencana alam yang terjadi ini adalah di luar jangkaan, di mana ia berpunca daripada tiga elemen luar jangka.

“Pertama, hujan terlalu lebat, setinggi 372mm dicatat dan air banjir naik sampai 10 kaki tinggi tercatat di setengah tempat, iaitu hujan sebanyak sebulan setengah telah turun dalam masa 15 jam sahaja.”

“Kedua, air banjir besar yang turun dari Kedah dan menyebabkan air naik tiga kaki sungguhpun tidak ada hujan di kawasan Seberang Perai selepas 4-5 November 2017. Ketiga, dalam masa yang sama telah berlaku angin kencang yang tidak pernah dilihat di Malaysia, sampai 40 batu sejam sehingga feri boleh ditolak ke darat atas jeti konkrit,” jelas beliau.

Terdahulu beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk agensi/jabatan Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, NGO, JKKK, agensi swasta dan semua penduduk Pulau Pinang yang telah bertungkus lumus bagi menyelamatkan Pulau Pinang yang mengalami bencana angin ribut kencang banjir terburuk dalam sejarah Negeri Pulau Pinang.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada dua Menteri Besar yang turun sendiri ke padang banjir “Ground Zero” iaitu Menteri Besar Perak Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.

“Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua Menteri Besar yang turun ke padang dengan rombongannya dan sendiri membuat pembersihan. Azmin Ali juga menyerahkan hampir RM1.5 juta kepada Kerajaan Negeri dan badan-badan pertubuhan di Pulau Pinang,” kata beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak baik daripada agensi Kerajaan Persekutuan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mahupun daripada Kerajaan Negeri yang telahpun membantu dan menyelamatkan mangsa banjir.

Comments

comments