Sejarah yang jelas pun Dr M boleh tipu, apalah sangat dalam perkara lain

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Idris Ahmad mendakwa bahawa bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad merupakan bapa pemecah belah Melayu dinegara ini.

Menurutnya lagi. kata-kata Pengerusi PPBM itu tidak boleh dipercayai.

“Kalau Mahathir kata kepada PAS, 10 yang dia cakap 13 tidak boleh percaya,” kata Idris sambil merakamkan perasaan kelakar apabila Mahathir tuduh PAS pemecah belah pembangkang.

“Hakikatnya beliaulah bapa pemecah belah masyarakat dan Melayu. Tiga Timbalan Perdana Menteri, Musa Hitam, Ghafar Baba dan Anwar Ibrahim terpelanting. Umno pecah dua kepada team A dan team B,  beliau hanya menang majoriti 43 undi dengan Tengku Razaleigh Hamzah. Akhirnya mahkamah telah mengharamkan Umno pada tahun 1987.

“Lahirnya Parti Semangat 46 dan PKR semuanya zaman beliau. Tiba-tiba Tun kata PAS sebagai  pemecah belah. Tun ini seperti ‘berkokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi’,” kata Idris dalam satu kenyataan etika mengulas tuduhan Mahathir yang berkata PAS merupakan pemecah belah pembangkang.

Beliau menegaskan bahawa Dr Mahathir seorang yang  pendendam, sukar untuk memaafkan.

“Jikalau Mahathir sayang seorang, maka janganlah pula ada orang pergi jumpa beliau beritahu individu ini demikian, demikian. Beliau tidak akan terima.”

“Malahan dia marah balik kepada pengadu. Kalau dia benci seorang sampai lubang cacing dia akan buru. Tentu kita masih ingat apa yang beliau tidak tuduh Anwar Ibrahim dalam isu liwat. Beliau tetap buat tuduhan walaupun dinafikan berkali-kali,” katanya.

Idris AhmadIdris yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang menjelaskan bahawa Dr Mahathir memang pendendam dengan PAS, kerana beliau tidak boleh terima Islam yang hendak dibawa oleh PAS.

“Dr M pernah tuduh ini hudud PAS, apabila dicabar mana pula hudud Umno, sehingga kini tidak terjawab. Ulama pengampu Umno tidak mampu untuk draf hudud ala Umno dan tolak hujah ulama PAS.”

“Mahathir dendam dengan Almarhum Nik Abdul Aziz sehingga selepas meninggal dunia pun Tun balun TG Nik Aziz di dalam ceramah di Tanah Merah, Kubang Pasu,” ujar Idris lagi.

Tambahnya lagi, Mahathir pernah tuduh PAS lebih merbahaya daripada komunis, walaupun hakikatnya Siddiq Ghouse, Setiausah Politik Dr Mahathir ketika beliau menjadi Menteri Pelajaran 1974-1975  ditahan ISA sebagai agen komunis.

“Dia juga pernah tuduh PAS ditubuhkan oleh penjajah, hakikatnya Umno adalah anak emas penjajah. Kerana ketika semua parti haluan kiri seperti Hizbul Muslimin, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) diharamkan pada tahun 1948 sedangkan Umno berada di dalam dakapan penjajah.

“Sejarah yang jelas pun Dr M boleh tipu, apalah sangat dalam perkara lain,” soal Idris lagi.

Comments

comments