Sekolah kebangsaan haruslah menjadi acuan perpaduan, bukan medan memupuk rasa curiga di sanubari murid-murid

KOMEN

Sekolah merupakan satu institusi di mana anak-anak muda dicorak pemikirannya agar melihat dunia sekitaran dengan mata dan minda yang matang, jelas dan tidak dicemari dengan agenda politik atau rasis mana-mana pihak.

Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak seperti guru, pentadbir sekolah, kerajaaan mahu pun ibu bapa atau penjaga untuk memastikan bahawa anak-anak didikan mereka tidak terpesong dari tujuan utama ke sekolah – iaitu memperolehi pendidikan yang serba holistik dari segenap sudut.

Malangnya baru-baru ini, insiden di mana seorang guru besar sekolah kebangsaan dengan sewenang-wenangnya mengimplementasi syarat mensegregasikan cawan minuman murid di kantin mengikut kaum/agama telah mengakibatkan ketidaksenangan di kalangan orang ramai.

Apakah bidang kuasa seorang guru besar untuk membuat syarat tersebut tanpa berunding dengan pihak Kementerian Pendidikan?

Adakah beliau telah membawa usul ini ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sebelum menguatkuasakan syarat sebegitu di sekolah di bawah jagaannya?

Adakah pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut telah diberitahu sebelum beliau bertindak?

Banyak persoalan masih belum terjawab walaupun media telah mengutarakan isu tersebut dengan bertubi-tubi beberapa hari lepas.

Tindakan guru besar ini boleh dianggap sebagai biadap dan tidak menghormati sensitiviti murid-murid dari kaum lain dan pada masa yang sama mengibaratkan seolah-olah murid bukan Islam adalah ‘pengotor’.

Tidak pernah dalam sejarah pendidikan di Malaysia seorang guru, apatah lagi guru besar sebuah sekolah kebangsaan, yang waras pemikirannya mengambil langkah yang boleh menimbulkan rasa syak-wasangka antara anak-anak didikannya.

Apakah mesej atau teladan yang guru besar ini ingin mengutarakan kepada murid-murid di sekolahnya, ibu bapa mereka atau kepada masyarakat pada umumnya?

Adakah esok hari guru besar ini akan turut mensegregasi pinggan, mangkuk, sudu dan garpu mengikut kaum atau agama murid-murid?

Jika benar ada murid yang membawa makanan tidak halal ke sekolah, guru besar tersebut haruslah mengguna budi bicaranya yang lebih berhemah dalam menangani isu tersebut.

Bawalah ketidakpuasaannya kepada PIBG atau terus kepada ibu bapa dengan alasan-alasan yang munasabah dan yang boleh diterima pakai.

Sudah pasti guru besar tersebut adalah seorang yang mempunyai cukup pengalaman setelah begitu lama dalam profesion perguruan, tetapi tindakannya dalam hal ini langsung tidak masuk akal .

Tidakkah beliau sedar bahawa sekolah adalah tempat yang paling sesuai untuk memupuk persefahaman antara kaum dan agama di kalangan murid-murid.

Sikap toleransi, saling menghormati antara satu sama lain dan merai ‘persamaan dalam perbezaan’ haruslah jadi pedoman sesebuah institusi sekolah. Bukan sebaliknya seperti yang diamalkan guru besar ini.

Pihak Kementerian Pendidikan tidak boleh mengambil isu ini sebagai remeh dan setakat memberi amaran kepada guru besar tersebut atau membuat pertukaran ke sekolah lain.

Isu perkauman dan agama tidak boleh dibenarkan menular dalam mana-mana sekolah khas sekali sekolah-sekolah kebangsaan.

Guru adalah tulang belakang sesebuah masyarakat. Percaturan yang tidak berfaedah boleh memudaratkan pemuafakatan antara kaum yang sedia ada.

Anak-anak muda tidak harus dilihat melalui lensa perkauman.

Turut baca:

Isu ‘cawan-mengikut-agama’: GB pertahan tindakannya demi ‘kesihatan’

Comments

comments