Kajian itu turut mendedahkan bahawa populariti Pakatan Harapan juga mencatatkan penurunan mendadak sebanyak 7% dari kalangan anak muda

KUALA LUMPUR: Sebuah portal pro-BN menyatakan bahawa menurut satu kajian bebas menunjukkan pengguna media sosial Facebook (FB) berumur 21 tahun ke atas semakin berminat kepada Barisan Nasional (BN) berbanding Pakatan Harapan (PH).

Kajian itu turut mengesan kecenderungan pengundi muda di Malaysia sekarang ini lebih minat kepada Umno dengan jumlah sebanyak 4.4 juta orang iaitu 68.8% peratus.

Menurut satu laporan portal Mykmu.net, bahawa dalam satu kajian oleh Politweet pada Julai 2017, 51.6% atau 3.3 juta pengguna Facebook berumur 21 tahun adalah peminat eksklusif kepada BN berbanding hanya 9.4% atau 600,000 yang dikenalpasti sebagai peminat eksklusif Pakatan pembangkang manakala 39.1% atau 2.5 juta meminati kedua-duanya.

“Bukan itu sahaja, menurut kajian bebas itu turut mengesan kecenderungan pengundi muda di Malaysia sekarang ini lebih minat kepada Umno dengan jumlah sebanyak 4.4 juta orang (68.8%), PKR 1.8 juta (28.1%), DAP 1.3 juta (20.3%), PAS 950,000 (14.8%), MCA 740,000 (11.6%), Gerakan 150,000 (2.34%) dan MIC 81,000 (1.3%).”

“Mengikut data daripada SPR mengikut suku tahun 2/2016, jumlah pengundi muda yang dijangkakan mengundi pada PRU14 adalah sejumlah 5.1 juta orang. Pengundi muda berusia antara 21-29 tahun mencecah 1.9 juta pengundi. Mereka yang berumur 30-39 tahun pula sebanyak 3.2 juta orang,” kata laporan itu.

Tambahnya, jumlah pengundi muda 5.1 juta ini adalah 37.5% daripada jumlah keseluruhan pengundi yang berjumlah 13.6 juta orang pada PRU14 nanti.

“Sejumlah 700,000 lagi pengundi yang menyokong BN mengikut kajian Politweet itu bolehlah dikategorikan sebagai mereka yang berusia 40 tahun ke atas,” ujarnya.

Jelas laporan itu bahawa, kajian Politweet itu juga mendedahkan 5.8 juta yang berminat kepada BN daripada keseluruhan 13.6 juta pengundi bermakna jumlahnya adalah 42.64%. Manakala pembangkang yang hanya ada 3.1 juta minat pada Pakatan Harapan atau sejumlah 22.7% sahaja.

“Jika dibandingkan pula dengan minat rakyat terhadap Facebook Fan Page yang bersifat politik, Social Bakers pula menyenaraikan lima fan pages pro Barisan Nasional yang merupakan “Fastest-Growing Politics Pages in Malaysia” pada minggu lepas iaitu Fan Page Zahid Hamidi yang bertambah 44,273 fans, MCA yang bertambah 2,257 fans, Friends Of Barisan Nasional yang bertambah 2,240 fans, Irmohizam Ibrahim yang bertambah 805 fans dan Noh Omar yang bertambah 726 fans dalam masa seminggu lepas,” katanya.

Dalam pada itu, kajian itu turut mendapati populariti PakatanHarapan juga mencatatkan penurunan mendadak sebanyak 7% dari kalangan anak muda.

“Bermakna orang muda sekarang sudah mulai pandai menyemak dan menyaring sesuatu berita yang disampaikan oleh pemimpin pemimpin Pakatan Harapan.”

Politweet adalah sebuah firma penyelidikan yang membuat kajian mengenai media sosial di Malaysia.

Comments

comments