Butiran peribadi mereka itu diserahkan oleh Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim kepada agensi penguatkuasa anti rasuah tersebut dalam satu pertemuan, malam tadi.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima butiran peribadi pemain-pemain bola sepak negara termasuk pengadil dan pegawai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk dipantau.

Butiran peribadi mereka itu diserahkan oleh Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim kepada agensi penguatkuasa anti rasuah tersebut dalam satu pertemuan, malam tadi.

“Sewaktu pertemuan itu juga, pihak SPRM telah menerima senarai nama serta butiran peribadi pemain-pemain bolasepak negara, para pengadil perlawanan, pegawai pasukan termasuk juga kakitangan di dalam FAM, bagi tujuan dijalankan pemantauan yang rapi oleh pihak SPRM.

“Di dalam pertemuan yang diadakan pada malam semalam, Tunku Mahkota Johor telah menitahkan kepada SPRM untuk membantu memastikan arena sukan bola sepak negara bersih serta bebas daripada sebarang pengaruh rasuah dan salahguna kuasa.

“SPRM menjunjung kasih titah beliau dan akan memberikan sokongan serta komitmen yang sepenuhnya untuk memastikan sukan bola sepak negara yang melibatkan para pemain, para pengadil perlawanan serta para pegawai sukan bersih serta bebas daripada anasir jenayah rasuah dan salahguna kuasa,” kata SPRM, dalam satu kenyataan, hari ini.

Pertemuan itu  disertai Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Azam Baki, Pengarah SPRM Negeri Johor Azmi Alias, serta Setiausaha Agung FAM Hamidin Mohd Amin.

“SPRM sesungguhnya amat menyanjung tinggi sokongan penuh serta komitmen berterusan Tunku Mahkota Johor kepada SPRM dalam memerangi dan menghapuskan jenayah rasuah dan salahguna kuasa di negara ini, amnya, dan di dalam arena pembangunan sukan bolasepak negara, khususnya.”

Comments

comments