Pandikar berkata, beliau mempunyai pengalaman yang cukup untuk kembali dalam arena politik selepas sembilan tahun memimpin Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia menyatakan kesediaan untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Pandikar berkata, beliau mempunyai pengalaman yang cukup untuk kembali dalam arena politik selepas sembilan tahun memimpin Dewan Rakyat.

“Saya rindu politik. Saya bukanlah masih muda tetapi tidak terlalu tua untuk bersara, saya bersedia daripada segi mental dan fizikal.

“Selama sembilan tahun di Dewan Rakyat mengajar saya banyak pengalaman, hujah-hujah yang tiada fakta serta urusan pentadbiran ada dalam pengalaman saya,” katanya, memetik Utusan Online.

Pandikar bagaimanapun berkata, persoalan sama ada beliau bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen bagaimanapun terletak kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukannya.

Beliau berkata demikian dalam pelancaran Program Jelajah Pertubuhan Bumis Bersatu Sabah (USBO) di Kota Kinabalu, hari ini.

Presiden USBO itu mengetuai pemimpin-pemimpin USBO negeri dalam rombongan sebanyak 115 kenderaan menjelajah seluruh negeri bagi menjelaskan tentang isu-isu semasa negara.

Comments

comments