Persona dan Saga direka bentuk dengan baik, mempunyai nilai terbaik untuk kereta – kemampuan, keselamatan dan lengkap dengan ciri-ciri praktikal.

KUALA LUMPUR: PAD Motors Sdn Bhd, pengedar utama Proton Holdings Bhd di Brunei, melancarkan Proton Persona 1.6L baharu dan Proton Saga 1.3L generasi ketiga untuk jualan pada minggu lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Ahmad Fuaad Kenali berkata beliau gembira apabila Persona dan Saga baharu itu, yang meraih sambutan baik di Malaysia, turut menarik minat pengguna di Brunei.

“Persona dan Saga direka bentuk dengan baik, mempunyai nilai terbaik untuk kereta – kemampuan, keselamatan dan lengkap dengan ciri-ciri praktikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pengguna Brunei merupakan yang pertama, di luar Malaysia, mengalami pengalaman kereta buatan Malaysia.

Model Persona dan Saga baharu itu dilengkapi ciri-ciri keselamatan aktif dan pasif yang terbaik serta menerima penarafan Program Penilaian Kereta Baharu Asia Tenggara (ASEAN NCAP) masing-masing lima bintang dan empat bintang.

Kereta tersebut kini tersedia untuk pandu uji dan tempahan di semua outlet Proton di Brunei.

-Bernama

Comments

comments