Pemuda MIC, ingin memandang serius kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr Zakir Naik yang secara jelasnya melanggar peruntukan Akta Hasutan

KUALA LUMPUR: Pemuda MIC hari ini membuat satu laporan polis terhadap pendakwah kontroversi dari India Dr Zakir Naik atas dakwaan cuba menggugat keharmonian rakyat Malaysia.

Ketua Biro Perundangan Pemuda MIC, R Balamurali berkata laporan polis itu dibuat berdasarkan satu video ucapan Zakir yang menurutnya cuba menggugat hubungan antara India dan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“Saya sebagai wakil Pemuda MIC, ingin merakamkan bahawa kami memandang serius kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan di dalam video yang secara jelasnya melanggar peruntukan Akta Hasutan,” katanya.

Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul petang tadi.

Balamurali berkata, terdapat bahagian dalam rakaman video itu yang menunjukkan Zakir cuba mengubah rasa tidak puas hati segelintir masyarakat Malaysia terhadapnya dengan mengatakan ia adalah agenda Muslim lawan bukan Muslim.

“Saya juga ingin melaporkan di sini bahawa Zakir kini sedang diburu oleh Kerajaan India dan satu waran tangkap tanpa jaminan telah pun dikeluarkan ke atasnya berkaitan tuduhan keganasan dan mencetuskan kerenggangan di kalangan masyarakat India di atas nama agama,” tambah beliau.

“Maka, kami pohon pihak polis, mengambil tindakan tegas terhadap Zakir yang mempunyai PR Malaysia (status penduduk tetap),” tambahnya.

Comments

comments