Beliau berkata, perkara itu adalah berdasarkan kaji selidik kos sara hidup di seluruh dunia 2017 oleh Economist Intelligence Unit

KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan untuk menangani peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi membuahkan hasil apabila kos sara hidup di negara ini dinilai lebih rendah dalam kalangan negara-negara Asean, kata Perdana Menteri Najib Razak.

Beliau berkata, perkara itu adalah berdasarkan kaji selidik kos sara hidup di seluruh dunia 2017 oleh Economist Intelligence Unit.

“Dalam usaha kerajaan untuk membawa Malaysia ke arah negara maju berpendapatan tinggi, isu kos sara hidup adalah tumpuan utama kerajaan. Banyak usaha yang telah kita lakukan bagi memastikan rakyat kurang dibebani kos sara hidup.

“Antaranya, kawalan harga oleh pihak berkuasa, pembahagian BR1M, usaha perangi orang tengah dan sebagainya.

“Kerajaan percaya usaha-usaha ini sedikit sebanyak membuahkan hasil apabila Malaysia dinilai sebagai bandar yang mempunyai kos sara hidup paling rendah di kalangan negara-negara Asean menurut kaji selidik kos sara hidup di seluruh dunia 2017 oleh Economist Intelligence Unit,” kata Najib, memetik kenyataan di laman www.najibrazak.com, hari ini.

Kaji selidik itu katanya membandingkan harga barangan dan perkhidmatan di 133 bandaraya seluruh dunia.

Najib bagaimanapun berkakata, pengiktirafan itu tidak bermakna kerajaan mengambil ringan akibat peningkatan kos sara hidup.

“Walau bagaimanapun, ingin saya tegaskan di sini bahawa pengiktirafan tersebut tidak bermakna usaha kita meringankan bebanan kos sara hidup sudah selesai.

“Malah, masih banyak lagi sedang dan akan kita lakukan untuk meningkatkan pendapatan dan mengurangkan kos barangan,” katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan sentiasa melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan pendapatan rakyat, melalui latihan dan pendidikan seperti Tekun, Tukar, Teraju, Superb, Mara, Dana Usahawan Muda, e-Rezeki, Dana Mudahcara, dan bermacam-macam.

“Dari segi pengawalan kos pula, kerajaan akan meneruskan Kedai Rakyat 1Malaysia, PR1MA, Klinik 1Malaysia, Baucar Buku 1Malaysia dan sebagainya,” kata Najib.

“Saya benar-benar mengharap program-program ini dapat meningkatkan taraf hidup rakyat kerana perkara inilah yang saya usahakan pada setiap hari sebagai Perdana Menteri.”

Comments

comments