Portfolio berkenaan akan terus disandang oleh Md Jais Sarday yang sebelum ini memangku jawatan tersebut sebaik sahaja Abd Latif bercuti susulan pendakwaan rasuah yang dikenakan terhadapnya.

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Johor, Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya tidak berhajat melakukan rombakan Exco susulan perletakan jawatan Abd Latif Bandi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan semalam.

Khaled berkata, portfolio berkenaan akan terus disandang oleh Md Jais Sarday yang sebelum ini memangku jawatan tersebut sebaik sahaja Abd Latif bercuti susulan pendakwaan rasuah yang dikenakan terhadapnya.

“Portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri dipertanggungjawabkan kepada Jais. Kita tiada cadangan untuk pelantikan baharu atau perubahan atau pertambahan.

“Bagi mana-mana jawatan dan portfolio lain yang telah kita buat pertukaran akan dikekalkan sampai pilihan raya,” katanya, memetik laporan Utusan Online, hari ini.

Portfolio Pendidikan dan Penerangan yang disandang Md Jais pula diletakkan di bawah seliaan dan tanggungjawab Ayub Rahmat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed pula diamanahkan bagi memikul portfolio Keusahawanan dan Pembangunan Koperasi yang dipegang Md Jais sebelum ini.

Abd Latif semalam berkata perletakan jawatan tersebut adalah susulan daripada pendakwaan ke atas dirinya di Mahkamah Sesyen Johor Bahru melibatkan kes dakwaan rasuah bernilai RM30 juta.

“Saya dengan ini mengambil tanggungjawab meletakkan jawatan sebagai Exco Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor.

“Di kesempatan ini saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada ahli keluarga, sahabat-sahabat, rakan-rakan Exco, masyarakat Mersing dan NGO-nya, rakyat berbilang kaum serta pihak yang memberi sokongan kepada saya untuk melalui proses perundangan ini dengan seadil-adilnya,” katanya memetik kenyataan tersebut.

Abd Latif, 51 dikenakan jaminan RM2 juta selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Johor Baru semalam atas pertuduhan terlibat dalam rasuah bernilai lebih RM30.3 juta antara tahun 2013 dan tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Endau itu mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan bersubahat dengan Amir Shariffuddin untuk menerima rasuah tersebut sementara perunding hartanah itu membuat pengakuan sama terhadap 33 pertuduhan menerima rasuah.

Comments

comments