Beliau yakin keputusan Abd Latif itu dibuat berdasarkan penilaian yag terbaik untuk semua pihak.

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Johor menerima perletakan jawatan Abd Latif Bandi sebagai Exco Perumahan Dan Kerajaan Tempatan negeri itu.

Menteri Besar Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau yakin keputusan Abd Latif itu dibuat berdasarkan penilaian yag terbaik untuk semua pihak.

“Surat perletakan jawatan itu memaklumkan bahawa beliau melepaskan semua jawatan rasmi kerajaan negeri Johor.

“Saya bagi pihak kerajaan negeri Johor menghormati keputusan yang diambil oleh beliau.Keputusan itu sudah pastinya berdasarkan penilaian yang terbaik untuk semua pihak,” kata Mohamed Khaled, dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut mengharapkan proses keadilan dapat berlangsung mengikut peruntukan undang-undang.

“Pihak kerajaan negeri dan saya secara peribadi merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan atas jasa dan khidmat bakti yang telah diberikan beliau sepanjang bertugas dengan kerajaan negeri Johor.

“Pihak kerajaan negeri berharap dan mendoakan agar segala urusan beliau selepas ini dipermudahkan dan berjalan lancar,” kata Mohamed Khaled.

Melalui satu kenyataan hari ini, Abd Latif berkata perletakan jawatan tersebut adalah susulan daripada pendakwaan ke atas dirinya di Mahkamah Sesyen Johor Bahru melibatkan kes dakwaan rasuah bernilai RM30 juta.

“Saya dengan ini mengambil tanggungjawab meletakkan jawatan sebagai Exco Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor.

“Di kesempatan ini saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada ahli keluarga, sahabat-sahabat, rakan-rakan Exco, masyarakat Mersing dan NGO-nya, rakyat berbilang kaum serta pihak yang memberi sokongan kepada saya untuk melalui proses perundangan ini dengan seadil-adilnya,” katanya memetik kenyataan tersebut.

Peguamnya berkata dengan bantuan keluarga dan penyokongnya, Abd Latif hari ini berjaya mengumpulkan wang RM2 juta untuk membayar ikat jamin dan dibebaskan.

Abd Latif, 51 dikenakan jaminan RM2 juta selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Johor Baru semalam atas pertuduhan terlibat dalam rasuah bernilai lebih RM30.3 juta antara tahun 2013 dan tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Endau itu mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan bersubahat dengan Amir Shariffuddin untuk menerima rasuah tersebut sementara perunding hartanah itu membuat pengakuan sama terhadap 33 pertuduhan menerima rasuah.

Bagaimanapun, sehingga habis waktu pejabat, Abd Latif gagal membayar wang jaminan itu kerana akaun banknya telah dibekukan dan beliau kemudian dihantar ke Penjara Reman Ulu Choh sementara Amir Shariffuddin dibebaskan pada sebelah tengah hari setelah menjelaskan wang jaminannya.

Comments

comments