Ketua Pengarah Kastam Malaysia Subromaniam Tholasy memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan pembatalan untuk lebih 60 barangan makanan dikenakan 6% Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Ketua Pengarah Kastam Malaysia Subromaniam Tholasy memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan, hari ini.

“Implikasi kepada pewartaan perintah ini akan menyebabkan lebih daripada 60 item makanan seperti ikan belut, ikan todak, jagung, sayuran sejuk beku, buah-buahan import (avocado, apricot, anggur, ceri, peach, plum), figs, marjerin dan lain-lain tertakluk GST 6%.

“Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah merujuk perkara ini dengan Kementerian Kewangan untuk maklum balas dan telah membuat keputusan supaya ianya dibatalkan,” kata kenyataan itu lagi.

Keputusan untuk mengenakan GST terhadap lebih 60 item makanan sebelum ini dikatakan bakal dikuatkuasakan 1 Julai depan.

Keputusan itu mengundang respon balas negatif banyak pihak, termasuklah Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang menjangkakan ia hanya memberikan kelebihan kepada pembangkang.

Beliau berkata, dengan mengenakan GST kepada bahan makanan yang sebelum ini dikadarkan sifar GST juga akan menyemarakkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Mengutip GST dari bahan makanan asas akan melonjakkan inflasi dan membebankan rakyat dari golongan berpendapatan rendah. Ini memburukkan lagi masalah kenaikan harga barang yang sudah pun teruk.

“Mengutip GST dari sayuran dan bahan makanan yang diimport atas dasar bahan makanan import dikira bersifat mewah akan menyebabkan sebahagian besar bahan makanan akan dikenakan GST. Ini adalah kerana sebahagian besar sayuran dan bahan makanan mentah adalah diimport kerana kekurangan bekalan domestik,” kata Rafizi, dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, walaupun sebahagian dari bahan makanan itu adalah buah-buahan dan sayur-sayuran import, namun banyak juga bahan makanan adalah bahan makanan asas yang digunakan oleh sebahagian besar rakyat Malaysia.

Mengikut laporan, antara bahan-bahan makanan ruji yang kini akan dikenakan GST adalah ubi kentang, kacang panjang, kacang pis, bayam, jagung, bihun, kuey teow, laksa dan minyak kelapa.

“Saya memberi amaran kepada Perdana Menteri Najib Razak bahawa mengenakan GST ke atas bahan makanan hanya akan menyemarakkan kemarahan rakyat ke atas beliau,” kata Rafizi, dalam kenyataannya.

 

Comments

comments