Dengan mengenakan GST kepada bahan makanan yang sebelum ini dikadarkan sifar GST juga akan menyemarakkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN)

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata keputusan kerajaan untuk mengenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terhadap lebih 60 jenis bahan makanan hanya akan memberikan kelebihan kepada pembangkang.

Beliau berkata, dengan mengenakan GST kepada bahan makanan yang sebelum ini dikadarkan sifar GST juga akan menyemarakkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Mengutip GST dari bahan makanan asas akan melonjakkan inflasi dan membebankan rakyat dari golongan berpendapatan rendah. Ini memburukkan lagi masalah kenaikan harga barang yang sudah pun teruk.

“Mengutip GST dari sayuran dan bahan makanan yang diimport atas dasar bahan makanan import dikira bersifat mewah akan menyebabkan sebahagian besar bahan makanan akan dikenakan GST. Ini adalah kerana sebahagian besar sayuran dan bahan makanan mentah adalah diimport kerana kekurangan bekalan domestik,” kata Rafizi, dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, walaupun sebahagian dari bahan makanan itu adalah buah-buahan dan sayur-sayuran import, namun banyak juga bahan makanan adalah bahan makanan asas yang digunakan oleh sebahagian besar rakyat Malaysia.

Mengikut laporan, antara bahan-bahan makanan ruji yang kini akan dikenakan GST adalah ubi kentang, kacang panjang, kacang pis, bayam, jagung, bihun, kuey teow, laksa dan minyak kelapa.

“Saya memberi amaran kepada Perdana Menteri Najib Razak bahawa mengenakan GST ke atas bahan makanan hanya akan menyemarakkan kemarahan rakyat ke atas beliau.

“Saya telah pun turun ke kawasan luar bandar dan kerusi marginal untuk berkempen khusus mengenai langkah memansuhkan GST, menambahkan peluang pekerjaan, menaikkan gaji dan mengurangkan pekerja asing,” kata Ahli Parlimen Pandan itu lagi.

“Tindakan mengutip GST ke atas bahan makanan akan menarik minat lebih ramai rakyat biasa datang ke sessi penerangan Pakatan Harapan berkenaan isu-isu ini.”

Comments

comments