Dr Mahathir Mohamad turut menggesa Rosmah Mansor supaya memulangkan semula duit rakyat dan barang kemas yang dibeli menggunakan duit rakyat

KUALA LUMPUR: “Jika berani, samanlah kami, saya bersedia”.

Demikian kata bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang menyahut ugutan Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri Najib Razak yang berkata akan saman mereka yang melakukan “penerbitan atau posting palsu, berniat jahat” terhadapnya.

Dalam satu kenyataan ringkas, Dr Mahathir berkata beliau sedia menghadapi tindakan undang-undang oleh Rosmah.

“Rosmah kata dia nak buru pemfitnah, dan saya tidak takut sebab ini bukan fitnah. Berani kerana benar,” kata Dr Mahathir.

“Jika ini fitnah, saya cabar Rosmah untuk saman DOJ (Jabatan Penghakiman Amerika Syarikat) sekali,” tambah beliau lagi.

Beliau berkata demikian ekoran DoJ mengemukakan saman untuk merampas aset bernilai AS$540 juta (RM2.3 bilion) yang dikaitkan dengan wang 1MDB.

Tuntutan saman terbaru DoJ, yang ketiga sejak tahun lalu membawa jumlah keseluruhan wang diselewengkan daripada 1MDB sebanyak AS$4.5 bilion.

Dalam pemfailan saman sivil ketiga dan terbaharu bagi pelucutan hak, DoJ ingin menyita antara lain, kapal layar Equanimity bernilai AS$165 juta (RM704 juta) dimiliki Jho Low, dan hak filem komedi “Dumb and Dumber 2” dihasilkan Red Granite, syarikat penerbitan dimiliki bersama oleh Riza Aziz, anak tiri Najib.

DoJ juga mendakwa dalam tuntutan itu sekurang-kurangnya AS$27.3 juta digunakan oleh Low untuk membeli loket dan rantai bernilai merah jambu 22 karat untuk “Malaysian Official 1 wife”.

Berikutan kenyataan DoJ, Rosmah menerusi firma guaman Tetuan Noorhajran Mohd Noor, berkata sesiapa yang melakukan serangan berniat jahat terhadapnya akan berdepan tindakan undang-undang tanpa notis lanjut atau rujukan.

Kenyataan yang dikeluarkan itu turut berkata peguam Rosmah memantau semua posting di media sosial dan penerbitan lain berkaitan serangan palsu dan berniat jahat terhadapnya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut menggesa Rosmah supaya memulangkan semula duit rakyat dan barang kemas yang dibeli menggunakan duit rakyat.

“Duit yang digunakan ini adalah milik rakyat bukan milik Rosmah,” tegas beliau.

Comments

comments