Bekas Ketua Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Sulaiman Mahbob dikatakan bakal menggantikan Isa Samad

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka membuat pengumuman penting hari ini mengenai kedudukan Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Mohd Abdul Isa Samad dan Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zakaria Arshad dalam syarikat itu.

Aktivis Membela Peneroka Felda (AMPF) Naraza Muda dalam satu kenyataan berkata pihaknya menjangkakan Perdana Menteri Najib Razak akan menyingkirkan kedua-dua individu tersebut.

“Hari ini, skandal ini akan dirungkai sebahagian babaknya. Hasil dari pengamatan dan perbincangan dengan banyak pihak, bekas kakitangan Felda, NGO Felda dan tokoh politik, saya menjangkakan Perdana Menteri akan mengambil jalan akan menyingkir Isa dan Zakaria sebagai jalan meredakan skandal ini sementara waktu.

“Waktu terdekat ini Perdana Menteri perlu terus memastikan agar undi Felda tidak terarah kepada protes besar-besaran kerana bibit-bibit ke arah ini sudah gagal dibendung lagi,” katanya, dalam kenyataan itu.

Memetik laporan Astro Awani, satu mesyuarat dijadual diadakan di Putrajaya untuk membincangkan isu FGV, termasuk laporan disediakan pihak bebas dilantik kerajaan untuk mencari penyelesaian kepada kemelut melanda syarikat perladangan terbesar negara.

Laporan itu turut memetik sumber Berita Harian bahawa Isa juga dijadualkan akan mengadakan pertemuan dengan Najib di Putrajaya, hari ini.

Naraza berkata, warga Felda perlu sedar senario politik terkini dan langkah-langkah Perdana Menteri sebelum ini tidak boleh dipadamkan dengan hanya bertindak ke atas Isa setelah kehancuran Felda gagal di sembunyikan sejak Najib sendiri memilih Isa untuk mengondolkan khazanah warga Felda yabg bernilai berbilion-bilion ringgit.

“Jalan cerita tidak kesudahkan dengan andaikata hari ini Najib menyingkirkan Isa sementara waktu, warga Felda nanti sudah tentu berpuas hati dan lega kerana Perdana Menteri sudah mengambil tindakan terhadap Isa.

“Mereka sudah tentu dapat melupakan apa yang sudah Isa jahanamkan Felda selama enam tahun menjadi Pengerusi Felda,” katanya lagi.

Dalam pada itu, memetik laporan New Straits Times, bekas kakitangan kerajaan Sulaiman Mahbob dikatakan bakal akan menggantikan Isa Samad.

Sulaiman yang juga merupakan ahli lembaga FGV, yang mempunyai 38 tahun di pelbagai sektor kerajaan termasuk pernah menjadi Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri, dan Ketua Setiausaha (Ekonomi) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ketika itu.

Comments

comments