Barisan Nasional ( BN) tidak sepatutnya menggunakan rakyat sebagai penyelesaian kedudukan kewangan negara yang tidak stabil

SHAH ALAM: Pengusaha restoran sudah tentunya akan menaikkan harga makanan selepas kerajaan memulakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan ( GST) kepada lebih 60 barangan makanan 1 Julai nanti, kata Ahli Parlimen Selayang William Leong.

Tambahnya, tindakan ini tidak adil kepada rakyat yang akan menanggung bebanan kos sara hidup mereka.

“Sudah pasti peniaga kedai makanan tiada pilihan selain menaikkan harga makanan yang dijual di warung atau restoran setelah barangan ini dikenakan GST nanti?

“Manakala perbelanjaan harian keluarga akan bertambah terhadap peningkatan kos perbelanjaan bulanan ekoran peningkatan harga barangan makanan ini.

“GST sememangnya suatu cukai yang tidak adil apabila rakyat yang berpendapatan rendah di luar lingkungan pendapatan turut menjadi mangsa untuk membayar cukai itu. Saya secara tegas membantah tindakan kerajaan Umno-BN yang mengenakan GST terhadap barangan makanan yang dinikmati kebanyakan orang seperti mee,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Berdasarkan laporan terkini, bahan-bahan makanan ruji yang akan dikenakan GST ialah makanan laut tertentu (termasuk belut, ikan todak), sayur-sayuran (termasuk kentang, kacang panjang, kacang, bayam dan jagung manis), buah-buahan import (termasuk avokado, buah ara, anggur, nectarines, ceri dan beri), teh, kopi, rempah dan mee (termasuk bihun, kuey teow, laksa mee) dan minyak kelapa.

William dalam pada itu berkata Barisan Nasional ( BN) tidak sepatutnya menggunakan rakyat sebagai penyelesaian kedudukan kewangan negara yang tidak stabil.

“Adakah barang-barang yang dinyatakan jarang digunakan oleh orang ramai?” soal beliau.

Kerajaan Umno BN sudah terlalu bermasalah dalam pengurusan kewangan negara sehinggakan terpaksa mengutip wang orang miskin melalui pembayaran GST ke atas orang miskin,” ujarnya.

GST mula diperkenalkan pada 1 April 2015 dengan kadar 6 peratus. Ianya bertujuan untuk mereformasikan sistem percukaian negara di samping mempelbagaikan pendapatan negara.

Menerusi cukai ini, Cukai Jualan 10 peratus dan Cukai Perkhidmatan 6 peratus dimansuhkan.

Comments

comments