Johor harus mencontohi Singapura yang hanya 20 minit dari Johor Bahru dan bukannya Selangor

Leonard Chin

KITA sering menganggap para politikus dan pemimpin akan hanya memfokuskan kepada kepentingan dan kesejahteraan rakyat. Biar dari mana pun sesuatu idea itu datang, selagi ia membuahkan manfaat kepada rakyat, ia seharusnya disokong dengan matang, biarpun asalnya dari seteru politik.

Malangnya, perkara itu tidak berlaku dan gagal dibudayakan oleh pembangkang di Johor. Pada mereka, dua tiga program yang mereka lakukan secara bermusim, kalau pun ada, mestilah diberikan perhatian dan kredit sepanjang zaman.

Terbaru, Adun Senai, Wong Shu Qi, menyelongkar berita lama dan mengitar semula cerita kononnya pemerintahan Mohd Khaled Nordin meniru Selangor.

Dalam dakwaan tidak berasas tersebut, beliau mendakwa bahawa perlaksanaan Bas Muafakat Johor (BMJ) merupakan idea yang dicedok Johor dari Selangor. Kenyataan keanak-anakan serta sikap kemaruk pujian oleh wakil DAP sebegitu bukan perkara baharu di Johor.

Ia pernah dilaungkan dua tahun lepas usai Pembentangan Bajet Negeri Johor 2016 apabila wakil DAP dari Selangor, Hannah Yeoh, secara membabi buta mendakwa bahawa Bajet Johor 2016 menyedut Bajet Selangor.

Barangkali ingatan Adun Senai sudah berkarat kerana terlupa menyemak kembali kenyataan balas Khaled, yang disiarkan dalam portal berita tempatan dua tahun lepas bertarikh 30 November 2015, bahawa Johor Kerajaan Negeri tidak memandang Selangor sebagai perbandingan dan suri teladan yang baik.

Selangor bukanlah “standard kita” yang sesuai untuk dijadikan rujukan kepada pembangunan Johor kerana Johor telah berada dalam liga yang berlainan dan tersendiri. Johor harus mencontohi Singapura yang hanya 20 minit dari Johor Bahru dan bukannya Selangor.

Namun, bagi menjawab serangan kitar semula yang diambil dari ‘bank hujah lapuk’ Adun Senai tersebut, ada baiknya kita menyemak perkembangan serta pencapaian semasa pengangkutan awam Johor.

BMJ hanya boleh dimanfaatkan oleh warganegara Malaysia, sedangkan bas SMART, walaupun dibiayai oleh Kerajaan Negeri Selangor menggunakan hasil cukai warganya, ia bebas untuk dilenjan oleh mana-mana pendatang asing.

Sebab itulah, dalam kebanyakan ulasan serta pelbagai maklum balas warga Selangor yang tertekan dengan isu ini, rata-rata mereka mengadu nasib kerana tidak berpeluang untuk menggunakan bas SMART dengan baik disebabkan oleh dasar Kerajaan Negeri Selangor yang menyamakan kedudukan dan hak mereka dengan pendatang asing.

Jadi, di mana lebihnya Bas SMART? Lebih penting, apakah yang ditiru oleh BMJ dari Selangor? Wong Shu Qi perlulah peka, dan jangan hanya pandai menerkam tanpa berfikir. Sekalipun ingin menutup mata dan merehatkan otak dari berjalan, beliau seharusnya mengakui penambahan sebanyak 32 buah laluan baru telah menjadikan keseluruhan laluan BMJ bertambah baik dengan 47 laluan keseluruhan.

Ia melibatkan penambahan jarak sebanyak 1357 KM serta peruntukan tambahan sebanyak RM21 Juta. Jumlah ini adalah lebih tinggi daripada jumlah peruntukan oleh Kerajaan Negeri Selangor (RM 20 juta) dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (RM 10 juta).

DAP kitar skrip lapuk perkara ini tidak memeranjatkan. Sebelum ini, telah pun timbul idea-idea tidak relevan, dangkal dan tidak praktikal yang diutarakan oleh DAP Johor.

Misalnya, Adun DAP Yong Peng pernah menggesa Kerajaan Negeri menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri serta hasil kutipan cukai rakyat Johor untuk keselesaan pendatang asing dengan menawarkan perkhidmatan BMJ kepada mereka.

Sebelum itu, DAP turut pernah memaksa agar projek RAPID Pengerang ditutup walaupun kira-kira 25% daripada kontrak di sana diberikan kepada Bumiputera. Usaha mensabotaj usaha Johor untuk menjadi Kuasa Ekonomi Selatan ini semakin menjadi-jadi menjelang PRU-14.

Namun, ketandusan idea untuk berhadapan dengan dasar Kerajaan Negeri telah memaksa DAP Johor menggunakan jalan keji yang memualkan. Sehinggakan sekecil-kecil isu akan diperbesarkan.

Terbaru, bantuan khairat di dalam titik sentuhan Bajet Johor 2017 telah didakwa oleh DAP Senai sebagai cedokan dari Selangor. Kedangkalan serta pemahaman peringkat terendah di pihak Adun Senai ini berpunca punca dari tiga perkara.

Pertama, fakir ilmu sejarah. Pemberian bantuan khairat kematian adalah amalan yang sudah lama diamalkan, khususnya oleh orang Melayu melalui surau-surau dan masjid sejak berkurun lalu. Pemasukan amalan ini dalam Bajet Negeri bukan disebabkan oleh Selangor.

Kedua, khairat kematian di Johor adalah untuk semua dan bukannya kepada hanya keluarga si mati yang berusia 60 tahun / OKU yang telah menetap di Selangor selama 15 tahun sahaja.

Ketiga, segala tohmahan dan pengitaran semula isu ini adalah kerana beberapa perkara dasar yang jauh lebih penting dan kritikal. Yang kesemuanya buntu untuk dijawab oleh DAP.

Antaranya, pertama, serangan bertalu-talu Khaled tentang pendirian DAP terhadap agenda pemantapan Sekolah Agama Johor serta pelan mereka untuk masa hadapan SAJ. Kedua, DAP tidak senang dengan dasar berani Kerajaan Negeri Johor bahawa orang Melayu mesti tinggal di bandar.

Ketiga, Khaled memberikan desakkan bertalu-talu kepada DAP untuk mengemukakan secara jelas dan terbuka satu dasar komprehensif berkenaan pengajian tamadun Melayu, kedudukan Bahasa Melayu dan tulisan jawi sebagai warisan sejarah.

Keempat, sindiran Khaled kepada Rafizi Ramli yang memperjuangkan isu pekerja asing selepas membaca Bajet Johor 2017 yang bersungguh-sungguh menghujahkan keperluan dan komitmen Kerajaan Negeri Johor dalam menjayakan Pelan Rasionalisasi Pekerja Asing di Johor.

Kelima, segala serangan ini adalah untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap kegagalan DAP menjawab dasar-dasar komprehensif dan progresif oleh pentadbiran Khaled seperti Pelan Pertumbuhan Strategik Johor (PPSJ), penubuhan Koperasi Orang Asli, penubuhan Unit Swadaya Insan, Tabung Kemahiran Rakyat Johor, Pusat Perniagaan Antarabangsa, penubuhan Kedai Harga Patut Muafakat Johor (imCoop) menggunakan instrumen gabungan 60 buah koperasi serta pelancaran buat kali pertama polisi alam sekitar negeri yang khusus iaitu Dasar Kelestarian Johor.

Kesemua ini adalah idea-idea baharu dan segar hasil dari kajian mendalam. Tidak ada cedokan dari bajet mana-mana negeri lain. Apatah lagi Selangor dan Pulau Pinang.

Keenam, DAP panas telinga apabila mereka diasak mengemukakan calon Menteri Besar Johor yang mereka mahukan. Memandangkan DAP tidak mungkin boleh memberikan calonnya, kepimpinan DAP mula mual dengan sikap dan keghairahan Pengerusi Amanah Johor yang semakin hari semakin terang-terangan mengangkat dirinya sebagai calon terbaik menteri besar Johor.

Malah, sehingga ke hari ini, DAP menikus apabila disuruh menyatakan sokongan kepada sama ada Amanah atau PKR yang kedua-duanya mengemukakan calon Menteri Besar Melayu yang tidak digemari oleh DAP.

Melukut, melutut, menurut. Keadaan Pembangkang di Johor amat menyedihkan. Sekalipun mereka terpaksa berkali-kali menjual impian bahawa mereka akan menang, realitinya amat mengecewakan.

DAP mahukan kuasa. Namun terhalang oleh sistem lalu terpaksa menurut sahaja nafsu PPBM, Amanah dan PKR.

Amanah mahu mengepalai Pakatan, namun terpaksa melutut pada nama-nama besar yang dibuang Umno dalam PPBM. PKR ingin menangguk di air keruh, namun mereka tahu, tanpa Amanah, tanpa PPBM, PKR hanyalah melukut di tepian gantang.

Datang tak bertambah, pergi tak berkurang. Kita tidak hairan apabila Khaled dalam ucapan minggu lalu telah mengingatkan seluruh parti komponen BN Johor untuk bersedia dengan segala macam hujah lapuk yang dikitar semua ini. Nampak strategi untuk tidak membiarkan pembangkang Johor tidur lena mula menampakkan hasil yang semakin berkesan.

Leonard Chin merupakan aktivis Persatuan Pemikir Muda Johor

Comments

comments