Demi agama, bangsa dan negara, parti Islam ini harus menerajui ‘perang’ terhadap minuman beralkohol dengan sokongan padu BN

KOMEN

PAS amat tersinggung dengan festival bir yang akan belangsung Oktober nanti secara besar-besaran di Kuala Lumpur.

Tidak hairanlah jika parti politik ini yang bejuang demi Islam agak ‘marah’ dengan festival sebegitu memandangkan arak atau alkohol haram di sisi agama.

PAS bimbang kejadian rogol, seks rambang dan indeks jenayah akan bertambah jika acara yang mengagungkan bir atau alkohol disambut secara terbuka dan direstui oleh kerajaan BN.

Memang penulis setuju bahawa alkohol boleh membawa mudarat pada kesihatan jika tidak dikawal kegunaannya tetapi pada masa yang sama PAS haruslah menerima hakikat bahawa kerajaan BNlah yang harus dipersalahkan di sini.

PAS amat rapat dengan BN sejak kebelakangan ini – kononnya BN amat prihatin dalam memperjuang agama Islam demi kepentingan rakyat jelata.

Disebabkan faktor inilah PAS sanggup bertalak dengan parti-parti politik lain yang pernah ia bekerjasama pada satu ketika seperti DAP dan PKR.

Itu adalah hak PAS. Tetapi kerjasama yang dijalin kini dengan BN adalah berlandaskan agama dan bukan politik, kata PAS.

Memandangkan isu festival bir ini adalah bertentangan dengan hukum agama, acara ini harus difatwa sebagai maksiat yang amat besar dalam negara ini oleh BN.

PAS semestinya memberi nasihat yang bernas lagi secocok kepada kerajaan pusat BN – iaitu pengamalan festival bir yang diiktiraf sebagai budaya barat semestinya dihentikan degan serta merta.

Buat masa ini adalah agak menghairankan kerana BN seolah-olah tidak mengendahkan perlembagaan Malaysia yang amat meghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara.

Walaupun perlembagaan Malaysia memberi kebebasan kapada yang bukan Islam untuk mempraktik agama mereka, ini tidak bermakna pengikut-pengiku agama-agama lain boleh dengan sewenang-wenangnya berjoli dengan bir.

Tiada agama dalam dunia ini yang mengagung-agungkan bir dan alkohol. Malah MCA dan MIC dalam BN harus turut menyokong PAS dalam usaha membanteras festival-festival haram dan keji ini.

Pada masa yang sama PAS juga wajib menentang habis-habisan keberadaaan kilang-kilang bir yang begitu besar di Malaysia.

PAS tidak boleh bertolak-ansur dalam hal ini dengan BN yang telah begitu lama membiarkan kilang-kilang seperti Carlsberg and Heineken beroperasi dalam negara tercinta ini.

Sepatutnya PAS Malaysia menggerakkan satu jentera bersama-sama Umno, MCA dan MIC di seluruh negara bagi menentang pengilangan, pemasaran dan jualan bir/alkohol di negara ini.

Perjuangan Islam ini harus disokong sebulat hati dan suara oleh semua komponen BN kerana ia bukanlah satu isu politik tetapi satu isu yang berprinsipkan pada akhlak dan moral semua orang Malaysia.

Malah dengan ketiadaan bir dan alkohol ada besar kemungkinan akan terhapusnya secara otomatis kes-kes rogol, kecurian, seks rambang, insiden anak luar nikah dan sebagainya.

Cita-cita murni PAS untuk melihat negara ini bebas dari maksiat bir hanya boleh direalisasikan sekiranya ia dapat mempengaruhi pemimpin-pemimpin Umno, MCA dan MIC.

Ini seharusnya tidaklah sukar kerana PAS sangat akrab dengan Umno yang mengetuai BN.

Jadi MIC dan MCA tidak akan menjadi penghalang kepada objektif PAS sekiranya Umno, yang turut bersungguh-sungguh memperjuangkan Islam dan kaum Melayu, memberi sokongan berpadu kepada PAS.

Soalnya sekarang, kenapa PAS tidak memperdepankan usul mengharamkan bir dan semua minuman beralkohol di Malaysia?

Malah usul yang begitu bermakna seperti ini harus dibawa ke Parlimen bersama oleh pemimpin-pemimpin PAS dan semua parti komponen BN. Sokongan mereka tidak akan berbelah-bahagi seandainya Umno di belakang PAS.

Pada masa yang sama, PAS turut wajib menindas BN yang telah sekian lama mengutip cukai hasil perniagaan minuman beralkohol dari pengilang-pengilang. PAS tidak harus bertolak-ansur dalam hal ini.

Adalah lumrah dalam parti BN – iaitu sekiranya Umno menyuarakan sokongan pada PAS, MIC, MCA dan lain-lain dalam gagasan itu akan turut akur.

Jadi, ayuh PAS! Jangan diperlambatkan perkara-perkara yang baik lagi murni untuk semua.

Terajuilah bahtera dengan BN untuk menyelamatkan Malaysia dari lautan bir bulan depan.

Comments

comments